Kepada insan bernama D, mungkin kau tak dapat baca luahan hati ini, tetapi aku tetap nak menulis, aku perlu lepaskan semua yang ada dalam hati dan minda.
Engkaulah orangnya. Jejaka yang dah buat hidup aku berubah 180 darjah. Setiap hari, setiap malam, setiap detik, aku selalu teringatkan engkau. Esok, 17 October, genap dua bulan kita berpisah. Tetapi sampai ke hari ini, aku masih tak mengerti, kenapa kau masih ada dalam ingatan?
Hampir setiap malam aku menangis. Hampir setiap malam juga, aku bangun lalu bertahajjud dan menunaikan istikharah, adakah engkau jodohku?
Dulu, aku tak bangun begitu kerap. Tetapi aku kerap menangis. Namun sejak kebelakangan ini, aku kurang menangis, tetapi aku makin kerap bangun malam; sambil turut mendoakan agar engkau jua yang Allah pilih sebagai jodohku.
Aku pelik, kenapa engkau masih ada dalam ingatan, sedangkan dah hampir dua bulan engkau pergi. Dahulu, sewaktu aku masih menyimpan perasaan pada cinta hati yang pertama, aku turut menangis, tetapi aku tak rasa ia sekerap ni. Aku juga tak mendoakan orang lain menjadi jodoh aku. Mungkin ye, aku pernah doakan seseorang menjadi jodohku, tetapi ia dilakukan "out of curiosity", hanya kerana aku berada di tanah haram ketika itu. Tetapi kali ni, setiap hari, nama engkau tak pernah lekang dari bibir di setiap doaku. Setiap hari, aku tak pernah berdoa seikhlas hati agar orang itu jodohku. Engkaulah yang pertama.
Aku ingat lagi, satu ketika dahulu, sehari selepas kita bertemu, aku memberitahu Mak tentang engkau. Selama ini, jika aku menyukai seseorang, aku hanya berdiam diri. Tetapi dengan engkau, semuanya berbeza.
Sebenarnya, aku kecewa dengan diri sendiri. Bila difikirkan semula, kenapa kita berpisah? Kenapa disebabkan perkara kecil, aku besar-besarkan, hingga menyebabkan perpisahan? Sampai sekarang, aku terfikir, apa yang akan terjadi andai kata aku tidak terlalu ikutkan hati? Mungkinkah kita akan menjadi lebih rapat? Mungkin perkara baik akan berlaku jika aku lebih bersabar? Terkadang aku rasa yang diri ini tak matang. Dan mungkin sebab tu, kita terpaksa berpisah untuk mencari arah.
Bila aku fikirkan semula, mungkin ada hikmah semua ni berlaku. Mungkin Allah nak tunjukkan yang 1) ada lelaki baik dalam dunia ni, yang jauh lebih baik dari cinta hatiku yang pertama; 2) Allah nak jadikan aku seorang yang matang; 3) Allah kirimkan engkau agar aku dapat dekatkan diri denganNya.
Ada yang kata padaku, engkau tak layak untuk aku tangiskan. Tapi, aku rasa, engkau sememangnya layak untuk aku ratapi. Engkau banyak merubah arah hidupku, selalu mengingatkanku yang keluarga harus diutamakan. Engkau juga selalu mengingatkanku tentang Tuhan selagi boleh. Mungkin sebab tu, bila kita berpisah, hati aku sakit, sebab aku tak tahu sama ada aku boleh jumpa lelaki seperti engkau.
Jujur, engkau ada segala-galanya yang aku inginkan pada seorang lelaki. Budiman orangnya (gentleman), bersopan-santun, pandai bertutur kata, baik, kelakar, matang, hormati orang tua, sayang anak kecil, jujur, dan yang paling penting, mengutamakan keluarga. Satu lagi ciri-ciri yang sebenarnya "bare minimum" tapi tak semua miliki, namun ada pada engkau, engkau seorang yang beragama. Dan ketika itu, aku betul-betul yakin yang engkau mampu bimbing aku ke syurga.
Dari segi rupa, orang kata engkau mungkin "tak makan gambar". Tetapi aku ingat lagi, bila aku bertemu engkau buat pertama kalinya, sungguh, hatiku berdegup kencang. Cinta pandang pertama barangkali. Aku ingat lagi, sebaik sahaja aku melihat engkau, aku beritahu semua sahabatku yang engkau memang jejaka idamanku. Aku tak boleh nak alihkan pandangan dari engkau. Bak kata aku, "you are the walking definition of my type of guy." Kerana itu, bila semuanya dah berakhir, aku agak ralat. And bila aku fikirkan semula tentang apa yang berlaku, aku agak kecewa dengan keputusan yang aku lakukan.
Satu perkara yang aku tak suka tentang engkau? Engkau isap rokok. Aku paling pantang sebenarnya dengan lelaki yang isap rokok. Tapi aku tak tahu kenapa, aku boleh tutup mata dengan kenyataan ni. Bila engkau mengaku yang engkau isap rokok, aku bagitahu asalkan engkau tak merokok depan aku, aku okey. Engkau juga hormat keputusanku. Engkau tak merokok depanku. Aku suka lelaki yang boleh hormati keputusan orang lain.
Sebenarnya, aku mengambil masa yang agak lama untuk mulakan hidup baru, untuk "move on". Hampir setiap hari selama lebih sebulan, aku menangis sebab teringatkan engkau dan keputusan bodoh yang aku buat. Rasanya boleh dikira guna jari berapa hari aku tak nangis. Tapi kini, aku rasa yang aku lebih kuat. Aku dah tak nangis macam dulu, walaupun aku baru menangis selama dua hari berturut-turut semalam dan kelmarin. Rasanya aku dah boleh teruskan hidup. Cuma yang menghalang rasa ini, aku masih teringatkan engkau setiap hari walaupun aku dah cuba nak lupakan kau.
Masa kita baru berpisah, banyak yang cuba pujuk hati aku. Dan sebanyak itu juga berkata, "maybe it's the right person but the wrong time". Engkau jejakanya, tetapi masa tak mengizinkan. Terkadang, aku pun rasa begitu. Teringat lagi suatu masa dulu, kita pernah tanya masing-masing, dan kita memang merasakan yang kita mungkin berjodoh. Tapi tu lah kan..... Tak atau mungkin belum kesampaian....
Seperti yang aku cakapkan tadi, aku ada melakukan istikharah. Banyak kali sebenarnya. Berkali-kali aku tanya pada Tuhan, adakah benar "it's the right person but wrong time"? Aku pernah berdoa, jika engkau benar jodohku, simpankan sedikit rasa ini, supaya jika engkau kembali, rasa ini tetap ada untuk kau. Tapi jika tidak, bantu aku lupakan engkau.
Buat masa ini, tak ku nafikan, memang susah untuk aku lupakan kau. Tetapi, ada juga bayangan yang menunjukkan engkaulah orangnya. Sejurus selepas beristikharah, aku bermimpi makan malam dengan engkau. Pada hari yang sama juga, mak ada berbual denganku tentang engkau. "Kawan je dulu. Jangan bermusuh. Kita tak tahu rahsia jodoh. Kalau dia betul jodoh kakak, dia akan datang balik". Beberapa hari lepas, dia berkata seperti ini walaupun kita dah berpisah: "Nanti bila dah kahwin, jangan tinggal dengan mak mertua. Tinggal sendiri. Nasib baik dia tak ada adik beradik perempuan". Siapa lagi yang mak berikan bayangan kalau bukan dia?
Ada juga sekali, sehari selepas perkara ini berlaku, anak muridku berkata denganku, "Teacher Dhiyah, you cannot sleep because you dreamt of the person who wants to marry you?" bila aku beritahu yang aku tidak boleh tidur. Dia tak mengatakan buah hati, tetapi jejaka yang ingin bernikah denganku. Aku agak terkejut, tapi aku iyakan sahaja. Kawan baikku Danial juga beritahu aku perkara ini beberapa kali, "maybe it's the right person, wrong time".
Aku pelik kenapa aku masih berkawan dengan engkau. Sama-sama ucapkan hari lahir untuk satu sama lain walaupun sebenarnya, tak perlu. Kita masih baik walaupun tak seperti dulu. Engkau juga baru sambut hari jadi dua hari lepas. Dan aku ada ucapkan selamat hari lahir pada engkau.
Engkau tahu aku akan menunaikan umrah akhir tahun ini. Jadi, engkau mahu aku doakan engkau di depan Kaabah nanti. Namun, selama ini, kau hanya gunakan istilah "I You" dengan aku. Tapi entah mengapa kelmarin, engkau guna "saya". Selalunya, kita berdua menggunakan istilah"saya awak" bila terasa rindu dan sebagainya. Jadi bila engkau kata, "Doa nanti depan kaabah untuk saya dah cukup", hatiku berbunga-bunga sebenarnya, walaupun aku agak musykil, kenapa kau gunakan istilah tersebut.
D, jangan kau risau, aku akan selalu doakan kau walau dimana pun kau berada. Maaf. Aku terpaksa berhenti menulis. Air mataku sekali lagi bercucuran. Hatiku tersentuh jua apabila kau berkata "doa nanti depan kaabah untuk saya dah cukup". Aku tak pernah tak doakan kau. Engkau sentiasa ada dalam ingatan. Tak mungkin aku tak mendoakan engkau. Doakan kebahagiaan dan kebaikan sahaja untuk engkau.
Tak apa lah. Andaikata engkau bukan jodoh aku, aku redha. Akan ada yang lain pasti datang menyapa. Tapi andai kata engkau sememangnya untukku, aku doakan agar engkau hadir kembali dalam hidupku. Aamiin ya Rabbal Alamin, insyaallah.
No comments:
Post a Comment